Skuad Bantu Kuala Krai tawar khidmat sukarela sempena Aidilfitri
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 17 Mac – Sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, satu inisiatif bantuan jalan raya secara sukarela dikenali sebagai Skuad Bantu Aidilfitri 2026 akan dilaksanakan bagi membantu para perantau pulang ke kampung halaman dengan lebih selamat.
Operasi tersebut dijadualkan bermula 17 Mac dan berakhir pada pukul 3 pagi 1 Syawal.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan,Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, program tersebut merupakan usaha bersama beberapa pihak termasuk MKJR Negeri Kelantan, Taskforce Kuala Krai, Barracuda Adv Team, Lacar Group, Al-Amin Towing dan AF Towing.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan,Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah
Katanya, pasukan sukarelawan akan ditempatkan di beberapa laluan utama sekitar jajahan Kuala Krai serta kawasan berhampiran seperti Tanah Merah dan Machang.
"Antara lokasi tumpuan termasuk Dabong, Manik Urai, Guchil dan Telekong yang sering menjadi laluan utama perantau.
“Inisiatif ini bertujuan membantu pengguna jalan raya yang berdepan masalah seperti tayar pancit, kenderaan rosak atau kemalangan kecil sepanjang perjalanan pulang beraya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran melalui rancangan Fokus terbitan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), hari ini.
Tambahnya, bantuan diberikan secara sukarela tanpa sebarang bayaran, dengan keutamaan memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran perjalanan mereka.
Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian hotline yang disediakan iaitu 011-1100 1091.
Dalam pada itu, YB Hilmi turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan, memandu dengan cermat serta berhenti berehat sekiranya mengantuk bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Ingatlah, di penghujung perjalanan nanti ada insan tersayang yang menunggu kepulangan anda," pesannya.
Skuad Bantu Kuala Krai turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua perantau yang pulang ke kampung halaman.












