Accessibility Tools

Skip to main content

60 anak yatim DUN Gaal terima sumbangan baju raya tajaan TM

Oleh: Irham Hilmi Hashim

PASIR PUTEH, 17 Mac 2026 – Sebanyak 60 anak-anak yatim dan asnaf disantuni Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal YB Mohd Rodzi Ja’afar melalui Program Sumbangan Baju Raya DUN Gaal tajaan Telekom Malaysia (TM).

Program tersebut berlangsung di Pasaraya Econjaya, Bandar Pasir Puteh, semalam.

Menurut YB Rodzi, program tersebut bertujuan meringankan beban keluarga mereka dalam menyediakan kelengkapan pakaian Hari Raya Aidilfitri, di samping menceriakan suasana sambutan untuk anak-anak yang kurang bernasib baik.

“Sumbangan yang diagihkan membolehkan setiap anak-anak yatim memilih pakaian raya masing-masing, sekali gus menyerikan sambutan Aidilfitri mereka. Kami amat menghargai semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya TM sebagai penaja utama,” ujarnya melalui media sosial, pada Isnin.

Beliau juga berterima kasih kepada pihak pasaraya yang mempermudah proses pemilihan dan pembelian pakaian raya kepada setiap penerima.

Turut hadir, Pemangku Ketua Balai Pasir Puteh Sarjan Norashikin Yahya dan Penghulu Nor Aisyam Izuddin selaku penyelaras program bersama pihak TM dan Econjaya.