Perkukuh keterjaminan makanan, Kelantan ambil iktibar model pertanian Iran
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 17 Mac – Kelantan terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri dengan meneladani pendekatan strategik sektor pertanian Iran yang terbukti mampu bertahan walaupun berdepan tekanan geopolitik dan sekatan ekonomi berpanjangan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata antara kekuatan utama Iran ialah pelaksanaan dasar sara diri makanan yang dijadikan sebahagian daripada strategi keselamatan negara sejak Revolusi Iran.
Menurutnya, pendekatan tersebut memberi keutamaan kepada pengeluaran makanan asas melalui pelbagai inisiatif termasuk subsidi, jaminan harga pembelian oleh kerajaan serta pelaburan berterusan dalam sektor pertanian.
“Langkah ini membolehkan Iran menghasilkan sebahagian besar keperluan makanan asas sendiri, sekali gus meningkatkan tahap sara diri walaupun masih bergantung kepada import bagi komoditi tertentu,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Beliau berkata, selain dasar sara diri, aspek pengurusan air turut menjadi faktor penting dalam kelangsungan sektor pertanian Iran, khususnya melalui penggunaan sistem pengairan tradisional seperti qanat, selain penambahbaikan teknologi pengairan moden bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air.
Tambahnya, Iran juga mengekalkan simpanan makanan strategik serta menyediakan pelbagai program sokongan kepada petani bagi memastikan pengeluaran makanan kekal stabil walaupun berdepan tekanan ekonomi.
Bagaimanapun, beliau mengakui negara tersebut masih berdepan cabaran seperti kemarau, perubahan iklim, kekurangan sumber air serta kekangan import teknologi pertanian.
Mengulas lanjut, Dato’ Tuan Mohd Saripudin berkata pendekatan berkenaan memberi pengajaran penting kepada Kelantan dalam memperkukuh sektor pertanian sebagai asas ketahanan negeri.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Kelantan kini mempergiat pelaksanaan Gerakan Pertanian Al-Falah, yang memberi penekanan kepada pemodenan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IoT), sistem pemantauan pintar serta penglibatan lebih aktif golongan belia dalam bidang agro.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan sektor pertanian tidak lagi dilihat sebagai sektor tradisional semata-mata, sebaliknya sebagai sektor masa depan yang berasaskan teknologi, inovasi dan keusahawanan,” jelasnya.
Beliau berkata usaha tersebut turut diperkukuh melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), institusi penyelidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti petani.
Menurutnya, sinergi bersepadu itu membolehkan pelaksanaan program pembangunan pertanian secara lebih tersusun, merangkumi aspek teknologi, latihan kepada petani serta usaha menarik minat generasi muda.
“Dalam dunia yang semakin tidak menentu, pertanian bukan sekadar sektor ekonomi, tetapi asas kepada ketahanan sesebuah negeri.
“Keterjaminan makanan bukan hanya tanggungjawab portfolio ini semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat bagi memastikan sistem pengeluaran makanan terus berfungsi dengan baik,” ujarnya.








