SMU, SMTQ 2025: Keputusan meningkat, 268 pelajar capai 10 Mumtaz
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 17 Mac – Keputusan peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) 2025 menunjukkan peningkatan sebanyak 1.6 peratus berbanding tahun 2024.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata sebanyak 4,780 pelajar atau 93.78 peratus daripada 5,097 calon yang menduduki peperiksaan itu berjaya lulus.
Menurutnya, pencapaian kecemerlangan pangkat Mumtaz (Cemerlang) turut meningkat kepada 1,061 calon berbanding 625 calon pada tahun lalu.
“Bagi pangkat Jayyid Jiddan (Amat Baik), seramai 1,064 calon direkodkan berbanding 1,446 calon pada 2024.
“Pangkat Jayyid (Baik) pula mencatatkan 1,402 calon berbanding 1,548 calon pada tahun lalu, manakala pangkat Maqbul (Lulus) seramai 1,253 calon berbanding 1,333 calon pada 2024."
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan peperiksaan SMU, SMTQ dan STUP di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK),Tunjong, sini hari, ini.
Katanya, pencapaian terbaik 10 Mumtaz bagi semua mata pelajaran turut menunjukkan peningkatan ketara apabila seramai 268 pelajar berjaya mencapainya berbanding hanya 90 calon pada tahun lalu.
Dari segi Gred Purata Sekolah (GPS), Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Pulai Chondong mencatatkan GPS 1.05, diikuti Maahad Tahfiz Sains Nurul Tahfiz Hidayah Tualang Tinggi (GPS 1.12) dan Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah Lilbanat Beta Hulu (GPS 1.19).
Sementara itu, bagi peperiksaan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP), seramai 49 calon menduduki peperiksaan pada tahun ini, meningkat berbanding 30 calon pada 2024.
Daripada jumlah itu, seramai 44 calon lulus dengan peratus kelulusan 89.80 peratus berbanding 86.87 peratus pada tahun lalu.
Pencapaian terbaik lapan Mumtaz bagi semua mata pelajaran pula dicatatkan oleh empat calon, berbanding tiada calon pada tahun 2024.
Selain itu, sejumlah 18 calon memperoleh pangkat Mumtaz, diikuti 12 calon pangkat Jayyid Jiddan, 12 calon pangkat Jayyid dan dua calon pangkat Maqbul.
Dalam pada itu, Dato' Wan Roslan merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar dan sekolah yang mencatatkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Beliau memperakui kejayaan itu adalah hasil usaha gigih pelajar, bimbingan guru serta sokongan padu ibu bapa dan pihak sekolah.
“Kerajaan negeri menyediakan laluan luas kepada pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk peluang melanjutkan pengajian di Tunisia dan Algeria dalam pelbagai bidang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) atas sumbangan dan peranan mereka dalam menyokong kecemerlangan pelajar.
Katanya, kerajaan negeri Kelantan melalui portfolio pendidikan akan terus komited memperkasakan pendidikan agama selaras dengan dasar "Membangun Bersama Islam".














