Accessibility Tools

Skip to main content

Pengguna jalan raya diingatkan utamakan keselamatan menjelang Aidilfitri – YB Hilmi

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 17 Mac – Pengguna jalan raya di negeri ini diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan ketika memandu, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Kelantan Bil. 1/2026, di Mabna, pada Isnin.

Menurutnya, mesyuarat tersebut turut membentangkan laporan tahunan MKJR bagi tahun 2025 yang merangkumi pelbagai inisiatif keselamatan jalan raya, termasuk program penukaran topi keledar dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Program ini berjaya mengagihkan lebih 3,000 unit topi keledar baharu kepada penunggang motosikal daripada pelbagai peringkat umur, selain pelaksanaan ceramah serta kempen keselamatan jalan raya di peringkat jajahan,” katanya di laman rasmi, semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa kempen keselamatan jalan raya akan terus dipergiat secara berterusan, khususnya ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Sepanjang tahun 2025, sebanyak 13,784 kes kemalangan telah direkodkan di seluruh Kelantan, dengan 309 kes melibatkan kematian dan 113 kes menyebabkan kecederaan parah.

"Statistik ini menunjukkan trend kematian yang masih belum menurun berbanding tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada semua pengguna jalan raya agar memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan demi mengelakkan tragedi yang boleh meragut nyawa.

“Saya amat berharap tiada lagi keluarga yang perlu bersedih pada pagi hari raya akibat kecuaian di jalan raya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, MKJR Kelantan akan menganjurkan program menyambut kepulangan perantau pada 17 Mac bermula pukul 10.00 pagi di dua pintu masuk utama negeri iaitu di hadapan JPAM Kampung Pahi dan di Jeli.

Manakala bagi program menghantar pulang perantau, ia akan diadakan pada 25 Mac di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Yong serta di Gua Musang.

Menurutnya, pelbagai bahan kempen keselamatan jalan raya akan diedarkan kepada pengguna, selain sedikit juadah kuih raya dan cenderahati sebagai tanda penghargaan.

YB Hilmi turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat serta mengingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan menghargai insan tersayang.