Accessibility Tools

Skip to main content

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa santuni penduduk Kampung Sungai Budor sempena Ramadan

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Datuk Marzuk

KOTA BHARU, 17 Mac – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Dato’ Dr Ahmad Marzuk Shaary menyantuni 300 penduduk Kampung Sungai Budor melalui program agihan juadah iftar dan biskut hari raya, semalam.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Ameerah Kawasan Pengkalan Chepa yang turut turun padang mengagihkan sumbangan kepada mereka yang menetap di kawasan persisiran sungai Kelantan.

Dalam ucapannya, Dato’ Dr Ahmad Marzuk menegaskan bahawa Ramadan merupakan bulan yang mendidik umat Islam untuk menghayati nilai kebersamaan serta keprihatinan terhadap golongan lain.

“Kebahagiaan sebenar ketika berbuka puasa bukan hanya terletak pada juadah yang dinikmati, sebaliknya pada keupayaan untuk berkongsi rezeki dan menggembirakan orang lain pada waktu tersebut,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa terdapat dalam kalangan penerima yang menzahirkan kegembiraan walaupun hanya menerima sumbangan yang sederhana, sekali gus mencerminkan bahawa keikhlasan dalam memberi mampu memberikan makna yang besar kepada kehidupan masyarakat.

“Setiap sumbangan yang disalurkan, walaupun kecil, mempunyai nilai yang besar di sisi Allah SWT sekiranya dilaksanakan dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Menurutnya, usaha kebajikan seperti itu wajar diteruskan sebagai medium memperkukuh hubungan sesama masyarakat, di samping menyemai nilai kasih sayang berteraskan iman.

“Program ini juga menjadi antara inisiatif berterusan dalam menyantuni rakyat serta mendekatkan kepimpinan dengan masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan,” jelasnya.