AI pemangkin transformasi digital Kelantan – Exco Digital
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 17 Mac – Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan bahawa potensi kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan kecekapan sistem serta mempercepatkan analisis data menjadi antara fokus utama dalam perancangan pembangunan digital negeri.
Menurutnya, penggunaan AI dikenal pasti sebagai pemangkin utama dalam mempercepatkan transformasi digital Kelantan, sejajar usaha kerajaan negeri memperkukuh pembangunan teknologi dan ekonomi berasaskan inovasi.
Jelasnya, perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Gerakan Negeri, Mabna Kompleks Kota Darulnaim, semalam.
“Mesyuarat ini turut memberi penekanan kepada usaha memperkasa agenda teknologi hijau, digital dan inovasi bagi memastikan Kelantan terus berkembang selari dengan arus kemajuan teknologi, khususnya dalam memanfaatkan keupayaan AI,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.
Beliau juga memaklumkan bahawa satu pembentangan khas oleh syarikat telekomunikasi CelcomDigi turut memberi gambaran menyeluruh mengenai potensi aplikasi AI dalam pembangunan teknologi digital di negeri ini.
“Kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi serta pihak industri akan terus diperkukuh bagi memastikan agenda transformasi digital dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan. Insya-Allah, melalui sinergi ini, Kelantan akan terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa serta memanfaatkan inovasi digital untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tambahnya, teknologi AI berupaya meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkukuh pengurusan data serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital, sekali gus membuka peluang baharu kepada pembangunan negeri.
“Penggunaan AI mampu mempercepatkan proses analisis data, meningkatkan kecekapan sistem serta menyokong perancangan strategik kerajaan negeri dalam pelbagai sektor,” ujarnya.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau dan Inovasi YB Kamaruzzaman Mohamad, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar, selain ketua jabatan dan wakil agensi berkaitan yang terlibat secara langsung dalam pembangunan sektor pendidikan dan teknologi negeri.














