Penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu bermula Jun, potensi LTSIP jadi pintu masuk antarabangsa
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 16 Mac – Penerbangan terus dari Jakarta ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa yang dijadualkan bermula 16 Jun depan oleh syarikat penerbangan Air Asia dijangka berpotensi menjadikan LTSIP sebagai pintu masuk antarabangsa utama di Pantai Timur.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata kerajaan negeri mengalu-alukan inisiatif penerbangan langsung Jakarta-Kota Bharu denagn kekerapan empat kali seminggu kerana ia bakal meningkatkan status LTSIP sebagai lapangan terbang yang bukan sahaja berfungsi untuk penerbangan domestik, bahkan memperluas jaringan antarabangsa.
Menurutnya, perkhidmatan baharu itu dijangka memberi manfaat kepada rakyat Kelantan dan pelancong dari negeri-negeri berhampiran serta kawasan selatan Thailand.
“Kita menjangkakan bukan sahaja rakyat Kelantan akan menggunakan perkhidmatan ini, bahkan pelancong dari Terengganu dan selatan Thailand juga berpotensi menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai pintu keluar masuk ke Jakarta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa perkembangan tersebut selari dengan usaha berterusan kerajaan negeri untuk menjadikan LTSIP sebagai hab penerbangan utama di Pantai Timur yang menghubungkan beberapa destinasi serantau.
Menurutnya, antara laluan yang diharapkan dapat direalisasikan pada masa hadapan termasuk penerbangan terus ke Bangkok (Thailand), Phnom Penh (Kemboja) dan Ho Chi Minh City (Vietnam).
“Kita berharap aspirasi menjadikan LTSIP sebagai hab penerbangan serantau di Pantai Timur akan menjadi kenyataan, sekali gus memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi negeri,” katanya.
Tambahnya, usaha memperluas jaringan penerbangan antarabangsa sebenarnya telah menunjukkan perkembangan positif apabila penerbangan terus Kota Bharu-Singapura mula beroperasi sejak pertengahan tahun lalu melalui syarikat penerbangan Scoot Airlines.










