100 anak yatim terima manfaat SPY-Diraasah menjelang Syawal
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media PKD Temangan
MACHANG, 16 Mac – Sebanyak 100 anak yatim menerima bantuan melalui Skim Anak Yatim (SPY-Diraasah) sebagai usaha berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya anak-anak yatim, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan yang Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan, Dato’ Mohamed Fadzli Hassan di Pusat Khidmat DUN Temangan, Dewan Dato’ Haji Hassan pada Khamis lalu.
Beliau berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan beban para penerima di samping memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim dalam membuat persiapan menyambut Syawal bersama keluarga.
“Bantuan yang disampaikan ini diharap dapat memberi sedikit kelegaan kepada para penerima serta membolehkan mereka membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih sempurna,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa cakna dan berusaha menzahirkan komitmen berterusan dalam membantu golongan anak yatim agar kebajikan mereka sentiasa terpelihara.










