Accessibility Tools

Skip to main content

85 keluarga asnaf terima sumbangan zakat sempena persiapan Syawal

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media PKD Temangan

MACHANG, 16 Mac – Sebanyak 85 keluarga asnaf menerima sumbangan zakat bagi membantu persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam dua majlis penyampaian yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamad Fadzli Hassan, semalam.

Majlis tersebut berlangsung di Masjid Rahmaniah Kampung Raja dan Masjid Pasir Senor, melibatkan penerima daripada beberapa mukim di kawasan Dewan Negeri (DUN) Temangan.

Di Masjid Pasir Senor, sebanyak 45 penerima daripada kalangan asnaf dari Mukim Pasir Senor, Mukim Kerilla dan Mukim Temangan Lama dengan setiap mukim melibatkan 15 penerima.

Sementara itu, di kawasan Kampung Raja dan Kampung Tok Bilal, sebanyak 40 penerima dengan setiap mukim melibatkan 20 penerima.

Dato’ Dr Mohamad Fadzli yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.

Menurutnya, masyarakat di Kampung Raja dan Kampung Tok Bilal sentiasa dekat di hatinya, justeru kebajikan penduduk setempat menjadi antara keutamaan yang sentiasa diberi perhatian.

“Agihan zakat ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk membantu golongan asnaf serta mereka yang memerlukan supaya kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban penerima dan membolehkan mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan lebih sempurna,” ujarnya.