Accessibility Tools

Skip to main content

Zakat fitrah dibayar dengan nilai wang demi maslahah umat – Mufti Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 16 Mac – Mufti Kerajaan Negeri Kelantan Sahibul Samahah YB Dato’ Kaya Perba Dato’ Mohamad Shukri Mohamad memaklumkan bahawa amalan membayar zakat fitrah menggunakan nilai wang yang dilaksanakan di Kelantan dan beberapa negeri lain di Malaysia dibuat berasaskan maslahah umat.

Menurutnya, secara asas kadar zakat fitrah menurut Mazhab Syafie ialah segantang beras sebagai makanan asasi. Namun, ulama di Malaysia berpandangan bahawa pembayaran dalam bentuk nilai wang boleh dilaksanakan berasaskan pandangan Mazhab Abu Hanifah, yang membenarkan zakat fitrah dinilai berdasarkan harga bagi memudahkan pelaksanaannya.

“Sekiranya zakat fitrah dibayar menggunakan beras, ia boleh menimbulkan kesukaran atau masyaqqah kepada pihak pentadbiran dalam menguruskan penghantaran dan pengagihan beras kepada golongan fakir dan miskin.

“Justeru diputuskan bahawa segantang beras itu boleh dinilai dengan harga. Sebab itu pada tahun ini bayaran zakat fitrah ditetapkan sebanyak RM10, berdasarkan nilai segantang beras,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penjelasan dalam Program Bicara Mufti Siri 1, terbitan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) yang berlangsung di Studio Media Point, di sini hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan kaedah tersebut bukan bermaksud menyimpang daripada pandangan Mazhab Syafie secara sewenang-wenangnya, sebaliknya dibuat berdasarkan kepentingan dan kemaslahatan umat Islam.

Beliau menjelaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan pentadbiran agama tidak boleh dibuat secara individu, sebaliknya perlu diputuskan oleh Ulil Amri serta mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan.

“Keputusan ini mesti selepas mendapat perkenan Tuanku Al-Sultan. Ia bukan boleh dibuat sewenang-wenangnya, tetapi perlu diputuskan oleh Ulil Amri.

“Jadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah memutuskan bahawa daripada segantang beras itu ditukar kepada nilai wang,” jelasnya.

Mengulas dakwaan bahawa kadar RM10 di Kelantan lebih tinggi berbanding negeri lain, beliau berkata penetapan tersebut dibuat berdasarkan jenis beras yang menjadi makanan kebiasaan masyarakat di negeri ini.

“Ada yang makan beras super, ada yang makan beras sederhana dan ada yang makan beras biasa. Selepas mengambil kira semua faktor tersebut, maka ditetapkan kadar zakat fitrah sebanyak RM10,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pembayaran zakat fitrah menggunakan beras masih sah dari segi hukum.

Namun dari sudut pentadbiran, masyarakat disaran mengikuti kadar yang telah diputuskan oleh Ulil Amri bagi memastikan pengurusan zakat fitrah dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.

“Kalau ada yang mahu membayar dengan beras, ia tetap sah. Tetapi dari sudut pentadbiran, apabila Ulil Amri telah membuat keputusan, maka kita taat kepada Ulil Amri. Jika tidak, keadaan boleh menjadi tidak teratur,” katanya.