Accessibility Tools

Skip to main content

Kempen Tak Nak Beg Plastik: Orang ramai digalakkkan guna raga, beg kitar semula ketika beli-belah

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Majlis Daerah Machang

MACHANG, 16 Mac – Orang ramai digalakkan membawa raga, beg guna semula atau beg kitar semula ketika membeli-belah sebagai usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna susulan pelancaran Kempen Tak Nak Beg Plastik peringkat Majlis Daerah Machang.

Kempen tersebut dilancarkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Machang, Mohd Zamri Ibrahim bersempena perasmian pembukaan Pasaraya Pantai Timor, di Sri Mentara Machang, semalam.

YB Hilmi berkata kempen berkenaan merupakan langkah penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan jangka panjang penggunaan plastik sekali guna terhadap alam sekitar.

Menurutnya, statistik yang dikeluarkan oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) menunjukkan penggunaan bungkusan plastik makanan di Malaysia pada tahun 2020 sahaja dianggarkan mencecah 148,000 metrik tan.

“Setiap isi rumah di negara ini menggunakan kira-kira 16.8 kilogram plastik setahun. Statistik ini menunjukkan Malaysia antara penyumbang utama pencemaran plastik di Asia dan berada pada kedudukan kelapan daripada sepuluh negara di dunia yang masih berdepan cabaran mengurus sisa plastik secara sistematik,” jelasnya.

Tambahnya, kajian turut mendapati bahan buangan plastik mengambil masa antara 400 hingga 1,000 tahun untuk terurai secara semula jadi, sekali gus memberi kesan jangka panjang terhadap alam sekitar dan ekosistem.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Hala Tuju Ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018–2030 bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta menggalakkan perubahan gaya hidup yang lebih lestari.

Di peringkat negeri pula, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Kelantan melalui pihak berkuasa tempatan turut melaksanakan kempen Kelantanku Bersih bagi memupuk kesedaran masyarakat agar lebih mencintai kebersihan serta menjaga kelestarian alam sekitar.

“Saya menggalakkan orang ramai membawa raga atau beg guna semula ketika membeli-belah di pasar awam, pasar raya dan kedai serbaneka di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Machang sebagai usaha bersama mengurangkan penggunaan plastik sekali guna,” ujarnya.