Accessibility Tools

Skip to main content

Mahasiswa digesa peka isu semasa

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media DUN Kijang

PENGKALAN CHEPA, 16 Mac – Mahasiswa diseru supaya sentiasa peka terhadap perkembangan isu semasa sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan serta memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato’ Dr. Izani Husin berkata kepekaan terhadap situasi semasa amat penting bagi memastikan generasi muda mampu memahami realiti semasa, membaca perubahan masa depan dan bertindak secara bijaksana dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Menurutnya, mahasiswa sebagai golongan terpelajar perlu mempunyai kesedaran tinggi terhadap perkembangan semasa kerana mereka bakal memikul tanggungjawab besar dalam menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

“Mahasiswa tidak boleh bersikap tidak ambil tahu tentang perkembangan semasa kerana masa depan negara suatu hari nanti berada di bahu generasi muda hari ini. Belajarlah memahami realiti, membaca masa depan dan berjuang dengan hikmah demi kebaikan masyarakat,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.

Beliau menyampaikan pesanan tersebut ketika menghadiri Majlis Iftar Mahasiswa DUN Kijang yang menghimpunkan kira-kira 100 mahasiswa di PCB Resort, Pantai Cahaya Bulan, di sini, pada Sabtu lalu.

Dalam majlis tersebut, Dato’ Dr. Izani yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan turut berkesempatan bertemu serta berbuka puasa bersama para mahasiswa, di samping menyampaikan sumbangan bantuan Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebagai tanda sokongan terhadap usaha mereka menuntut ilmu.

Beliau turut menasihatkan mahasiswa agar menumpukan perhatian terhadap pelajaran serta membina jati diri yang berteraskan nilai integriti, amanah dan tanggungjawab.

“Tuntutlah ilmu bersungguh-sungguh, belajar dengan tekun dan bekerja dengan rajin. Apabila berjaya serta dikurniakan rezeki, jadilah insan yang memberi manfaat kepada orang lain, membantu masyarakat serta tidak melupakan jasa ibu bapa,” katanya.

Tambahnya, mahasiswa juga perlu menjadikan prinsip Islam sebagai panduan dalam kehidupan, selain mengamalkan nilai-nilai murni dalam setiap tindakan.

“Semoga mahasiswa DUN Kijang terus melangkah dengan ilmu, kesungguhan dan nilai yang baik untuk menjadi generasi yang cemerlang serta memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” ujarnya.