Program Dakwah Belantara santuni masyarakat Orang Asli Pos Pasik
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
GUA MUSANG, 16 Mac – Program Dakwah Belantara dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Orang Asli Pos Pasik Daerah Gua Musang memberi ruang kepada masyarakat Orang Asli setempat bersama-sama mengimarahkan Ramadan melalui pengisian ibadah serta penyampaian sumbangan kebajikan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata Ramadan merupakan waktu yang sesuai untuk mendekati masyarakat di samping berkongsi rezeki dan memperkukuh hubungan sesama komuniti.
Menurutnya, peluang meluangkan masa bersama masyarakat Orang Asli di Pos Pasik memberi pengalaman yang bermakna selain membuka ruang untuk memahami kehidupan komuniti di kawasan pedalaman dengan lebih dekat.
“Perjalanan menuju ke Pos Pasik mengambil masa lebih satu jam merentasi kawasan pedalaman. Walaupun agak mencabar, perjalanan ini memberi peluang untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat di kawasan tersebut,” katanya di laman rasmi, semalam selepas merasmikan program berkenaan pada Sabtu.
Program tersebut diserikan dengan majlis berbuka puasa, solat berjemaah termasuk tarawih serta penyampaian sumbangan Ramadan dan duit raya kepada masyarakat Orang Asli di pos berkenaan.
Antara sumbangan yang disampaikan ialah 100 kampit beras, 100 helai kain telekung solat serta 100 pek perisa minuman bagi membantu keperluan masyarakat setempat sepanjang Ramadan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Penyelia DUN Nenggiri Rizwadi Ismail serta Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan atas penganjuran program berkenaan dan komitmen berterusan dalam melaksanakan aktiviti dakwah serta kebajikan kepada masyarakat setempat.
















