Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan umum cuti tambahan sempena sambutan Aidilfitri

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM 15 Mac - Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan hari Khamis, 19 Mac 2026 bersamaan 29 Ramadan 1447 Hijrah sebagai cuti hari kelepasan am bagi seluruh negeri itu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata keputusan tersebut dipersetujui oleh kerajaan negeri bagi memberi laluan kepada rakyat negeri ini membuat persiapan menyambut lebaran di samping membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas menjelang musim perayaan.

Menurutnya, cuti tambahan itu juga diharap dapat memberi ruang kepada orang ramai untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tersayang.

“Kerajaan Negeri Kelantan telah bersetuju menjadikan hari Khamis, 29 Ramadan 1447H bersamaan 19 Mac 2026 sebagai cuti hari kelepasan am bagi seluruh negeri Kelantan sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Langkah ini bagi memberi laluan kepada persiapan menyambut hari lebaran dan mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut berharap cuti berkenaan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat untuk bersama keluarga dalam suasana penuh keberkatan menjelang Aidilfitri.

“Semoga cuti hari kelepasan am ini menjadi peluang berharga untuk dimanfaatkan bersama keluarga tercinta,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dengan ucapan “Maaf Zahir dan Batin”.