Accessibility Tools

Skip to main content

Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan platform dekati belia dengan institusi masjid

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM,15 Mac – Institusi masjid perlu terus diperkasa sebagai pusat pembinaan masyarakat yang mendidik dari sudut ibadah dan membentuk jati diri serta akhlak khususnya dalam kalangan generasi muda.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad berkata, penglibatan belia dalam aktiviti berteraskan masjid penting bagi memastikan nilai agama, semangat kebersamaan serta tanggungjawab sosial terus subur dalam masyarakat.

Katanya, pendekatan sebegini mampu membuka ruang kepada golongan belia untuk lebih mengenali fungsi sebenar masjid.

“Masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga medan membina kepimpinan, mengukuhkan ukhuwah serta memupuk semangat khidmat kepada masyarakat,” katanya menerusi media sosial pada Sabtu.

Terdahulu YB Zamakhshari bersama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan Saipudin Zakaria serta Ketua Jajahan Pasir Mas Fazrul Azan Mohd Basari menghadiri Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung di Masjid Jamek Jubli Perak Sultan Ismail Petra, (Masjid Beijing) Rantau Panjang pada Khamis lepas.

Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan tersebut menarik lebih 1000 belia dan komuniti setempat.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian menarik telah diadakan antaranya pertandingan tulisan kaligrafi khat, pertandingan hafazan al-Quran serta pertandingan azan dan iqamah.

Menurut YB Zamakhshari lagi, usaha mempertemukan belia dengan institusi masjid memberi impak besar dalam membentuk generasi yang seimbang dari sudut rohani, sahsiah serta peranan dalam komuniti.

“Apabila masjid menjadi tempat yang mesra belia, akan lahirlah lebih ramai anak muda yang dekat dengan agama dan aktif menyumbang kepada masyarakat,” jelasnya.