Accessibility Tools

Skip to main content

Seminar hala tuju STAM dedah laluan pengajian ke IPT dalam, luar negara

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 15 Mac – Seminar Hala Tuju Pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2026 menjadi platform penting dalam memberi pendedahan kepada pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengenai pelbagai laluan pengajian pasca STAM termasuk peluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

Program selama tiga hari yang berlangsung pada 10 hingga 12 Mac itu melibatkan penyertaan pelajar dari sekolah-sekolah kelolaan YIK dan bertujuan membantu mereka merancang masa depan pendidikan secara lebih terarah.

Seminar berkenaan dirasmikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, di Dewan Besar YIK, Tunjong, pada Khamis lalu.

 

Dalam ucapannya, Dato’ Wan Roslan menegaskan bahawa STAM merupakan antara laluan penting dalam melahirkan generasi ilmuwan Islam yang berupaya meneruskan tradisi keilmuan dalam bidang syariah, usuluddin, bahasa Arab serta pelbagai disiplin ilmu Islam.

Menurutnya, pendidikan agama yang kukuh perlu disertai dengan kesungguhan menuntut ilmu, keikhlasan serta kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai pewaris tradisi keilmuan Islam.

“Seminar ini merupakan antara inisiatif bagi membantu pelajar STAM membuat perancangan pengajian secara lebih terarah di samping meningkatkan motivasi mereka dalam menghadapi peperiksaan.

“Kita berharap program seperti ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar serta menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi ulama, cendekiawan dan pendakwah yang mampu memimpin masyarakat dengan ilmu dan hikmah,” katanya.

Sepanjang seminar berlangsung, para pelajar turut didedahkan dengan maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian ke universiti tempatan dan antarabangsa, selain mendapat panduan berkaitan perancangan akademik selepas menduduki peperiksaan STAM.

Turut hadir, Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar.