Accessibility Tools

Skip to main content

300 asnaf DUN Kijang terima sumbangan zakat PKINK dan KOOP-Air

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 15 Mac – Sebanyak 300 asnaf di DUN Kijang menerima sumbangan zakat Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan (PKINK) dan Koperasi Kakitangan dan Keluarga Air Kelantan Berhad (KOOP-Air) sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat DUN Kijang itu  telah disempurnakan oleh Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Izani Husin  di Dewan Terbuka PASTI Al-Haq, Kedai Buloh, di sini, pada Jumaat.

Dalam ucapannya, Dato’ Dr Izani menzahirkan penghargaan kepada pihak yang terlibat khususnya PKINK dan KOOP - AIR dalam menjayakan program kebajikan tersebut serta memilih DUN Kijang sebagai lokasi penyampaian zakat pada tahun ini.

Menurutnya, sumbangan yang disampaikan itu diharapkan dapat membantu meringankan beban golongan asnaf dalam membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Walaupun nilainya tidak besar, sumbangan ini amat bermakna buat rakyat DUN Kijang, khususnya kepada para penerima yang sedang membuat persiapan menyambut Hari Raya nanti,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar segala kebaikan yang disumbangkan oleh pihak PKINK dan KOOP-Air menjadi asbab keberkatan kepada semua pihak yang terlibat.

Dalam pada itu, beliau juga mengambil kesempatan mengingatkan umat Islam agar memanfaatkan baki Ramadan dengan memperbanyakkan amalan ibadah, khususnya pada sepuluh malam terakhir yang penuh dengan kelebihan.

“Marilah kita menghidupkan setiap malam di penghujung Ramadan seolah-olah itulah malam Lailatul Qadr. Perbanyakkan istighfar, memohon keampunan daripada Allah serta jangan meremehkan walau sekecil mana amalan kebaikan,” serunya.