300 armalah DUN Guchil terima sumbangan RM60,000
Oleh:Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Media Exco
KUALA KRAI, 15 Mac – Sebanyak 300 armalah di DUN Guchil menerima sumbangan kewangan berjumlah RM60,000 menerusi Majlis Penyampaian Sumbangan Ad-Hoc Fasa 1 bagi tahun 2026.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah bersama Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman, sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap kebajikan golongan ibu tunggal di negeri ini.
Sumbangan tunai yang diagihkan kepada para penerima merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban kehidupan golongan armalah, khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan golongan tersebut yang memainkan peranan besar dalam membesarkan keluarga dengan penuh kesabaran dan ketabahan.
“Di Kelantan, kita menggunakan istilah armalah sebagai panggilan yang penuh penghormatan kepada ibu-ibu tunggal. Istilah ini diperkenalkan oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka dalam membesarkan anak-anak,” katanya, ketika berucap dalam majlis berkenaan, semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri bercadang untuk meneruskan penyampaian sumbangan Fasa 2 yang dijangka dilaksanakan pada bulan Mei nanti bagi memperluaskan lagi bantuan kepada golongan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan para armalah yang gigih membesarkan anak-anak walaupun berdepan pelbagai ujian kehidupan.
“Setiap pengorbanan seorang ibu yang membesarkan anak sendirian, setiap usaha mencari rezeki halal serta kesabaran menghadapi ujian hidup adalah sesuatu yang amat besar nilainya di sisi Allah SWT,” ujarnya.














