Accessibility Tools

Skip to main content

Pasaraya Kito Pahi rancakkan ekonomi Kuala Krai - YB Hilmi

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KUALA KRAI, 15 Mac – Pembukaan Pasaraya Kito cawangan Pahi di Laman Firdaus, Bandar Baru Kuala Krai dijangka merancakkan lagi perkembangan ekonomi setempat selain memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan YB Hilmi Abdullah berkata, pasaraya yang membawa tema “Jimat dan murah, pastinya Kito” itu menawarkan pelbagai barangan keperluan harian keluarga pada harga yang berpatutan kepada masyarakat.

Menurutnya, pembukaan pasaraya tersebut bukan sahaja memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan, malah turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Pasaraya Kito telah mengambil 80 penduduk tempatan untuk mengisi pelbagai jawatan termasuk jurujual, pengurusan, unit logistik dan bahagian penyelenggaraan.

“Ini secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan yang terlibat dengan sektor makanan dan minuman (F&B),” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil berkata, selain Pasaraya Kito, beberapa pasaraya lain turut beroperasi di Jajahan Kuala Krai seperti Pasaraya Pantai Timur, Pasaraya Econjaya, Pasaraya PKT dan Pasaraya Jaya Gading serta beberapa pasaraya kecil di kawasan pinggir bandar.

Menurutnya, kewujudan pasaraya baharu itu juga dijangka meningkatkan nilai pasaran hartanah di sekitar Mukim Pahi selain menjadi pusat aktiviti ekonomi.

“Pasaraya ini dijangka akan merancakkan lagi ekonomi tempatan kerana ia akan menjadi pusat aktiviti ekonomi yang bakal menghubungkan pengeluar, pembekal, usahawan kecil dan pengguna dalam satu ekosistem ekonomi yang sihat dengan penduduk di pinggir bandar sehingga ke Jajahan Gua Musang.” ujarnya.

Tambahnya, situasi tersebut turut memberi kesan positif kepada kedai dan kiosk jualan sedia ada milik usahawan bumiputera serta industri kecil dan sederhana (IKS) melalui peningkatan aktiviti jual beli di kawasan berkenaan.

Terdahulu, YB Hilmi memenuhi undangan untuk merasmikan pembukaan Pasaraya Kito cawangan Pahi. Pada awal tahun lalu, beliau turut merasmikan pembukaan cawangan pertama pasaraya tersebut di Tok Bali.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ketua Jajahan Kuala Krai merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Krai Mohd Shaifudeen Md Salleh.

YB Hilmi turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pasaraya Kito atas pembukaan cawangan baharu itu dan berharap ia dapat menarik lebih banyak pelaburan serta membantu menjadikan Kuala Krai sebagai pusat komersial baharu di jajahan berkenaan.