Accessibility Tools

Skip to main content

Solidariti umat Islam perlu diperkukuh hadapi penindasan global

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA BHARU, 15 Mac - Umat Islam diseru memperkukuh perpaduan dan solidariti sesama mereka bagi menghadapi penindasan yang menimpa negara serta masyarakat Islam di seluruh dunia, khususnya di Palestin dan Iran.

Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud berkata, solidariti tersebut penting bagi menyatakan sokongan terhadap umat Islam yang sedang berdepan serangan dan konflik di kedua-dua wilayah tersebut.

Beliau menegaskan bahawa setiap negara mempunyai kedaulatan yang perlu dihormati oleh pihak lain, prinsip yang telah diiktiraf sejak zaman dahulu lagi, bukan hanya dalam era moden.

Beliau turut mengaitkan keadaan itu dengan kisah dalam al-Quran mengenai perjalanan hidup Nabi Musa a.s yang melarikan diri dari Mesir selepas menentang kezaliman pemerintah pada zaman tersebut, iaitu Firaun.

Menurutnya, Nabi Musa kemudian menuju ke negeri Madyan yang kini berada di kawasan Jordan, sebelum bertemu dengan Nabi Shuib yang menyatakan bahawa Nabi Musa selamat berada di wilayah Madyan.

Katanya, kisah itu menunjukkan bahawa walaupun pemerintah zalim pada waktu itu mempunyai kuasa besar, mereka masih menghormati sempadan wilayah negara lain.

“Namun keadaan hari ini dilihat berbeza apabila terdapat kuasa besar dunia seperi Amerika Syarikat yang didakwa bertindak tanpa menghormati undang-undang antarabangsa,” katanya ketika berucap di Program Solidariti dan sokongan kepada Iran dan Palestin di Dataran Medan Ilmu, di sini, pada Jumaat.

Beliau turut mempersoalkan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menurutnya dilihat tidak berupaya bertindak tegas terhadap konflik yang melibatkan negara Islam.

Dalam masa sama, beliau menyatakan bahawa perpecahan dalam kalangan negara Islam menjadi antara faktor utama yang melemahkan kekuatan umat.

Katanya, terdapat negara Arab yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel walaupun rakyat Palestin yang juga beragama Islam terus berdepan penjajahan dan penindasan.

“Jumlah umat Islam di dunia sangat besar, tetapi jika berpecah-belah, kekuatan itu menjadi lemah seperti buih di lautan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa umat Islam supaya bersatu tanpa mengira perbezaan mazhab atau latar belakang, termasuk dalam menghadapi konflik yang berlaku di Iran dan Palestin.

Menurutnya lagi, solidariti yang ditunjukkan oleh umat Islam akan memberi mesej bahawa masyarakat Islam tidak berdiam diri terhadap penindasan terhadap umat Islam di seluruh dunia.