Ketua keluarga disaran semak bajet isi rumah susulan ketidaktentuan ekonomi
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 15 Mac – Ketua keluarga disaran menyemak semula bajet isi rumah dan mengutamakan perbelanjaan keperluan asas susulan ketidaktentuan ekonomi global yang berpotensi memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.
Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata perkembangan konflik di Iran kini mula memberi tekanan kepada kestabilan harga minyak global serta rantaian bekalan barangan keperluan.
Menurutnya, ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah tidak boleh dipandang ringan kerana senario itu berpotensi memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik termasuk peningkatan kos pengangkutan dan harga barangan harian.
“Saya menyeru rakyat Malaysia agar lebih berwaspada dan mula mengambil langkah penjimatan secara proaktif. Kenaikan harga bahan api global bukan sahaja menjejaskan kos pengangkutan, malah boleh mencetuskan kesan rantaian terhadap harga barangan dapur dan perkhidmatan harian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau turut mencadangkan agar rakyat menyemak semula corak perbelanjaan serta mengurangkan aktiviti yang tidak bersifat keperluan mendesak sebagai langkah awal menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup.
Dr Wan Martina berkata beberapa negara lain juga kini sedang mengambil langkah bagi menyesuaikan dasar ekonomi mereka berdepan situasi ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.
Menurutnya, Indonesia sedang meneliti langkah bagi mengurangkan penggunaan bahan api nasional bagi mengekalkan kestabilan subsidi negara, manakala Filipina memperkukuh strategi domestik untuk menghadapi kenaikan kos pengangkutan.
Di Eropah pula, katanya, negara seperti Belgium dan Jerman telah mula mengamalkan budaya penjimatan tenaga secara menyeluruh bagi mengurangkan kos operasi serta kebergantungan kepada sumber tenaga luar.
Beliau menegaskan bahawa persediaan kendiri merupakan benteng pertama bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan rakyat tidak boleh menunggu sehingga krisis mencapai tahap kritikal untuk bertindak.
“Dengan menguruskan penggunaan sumber dan tenaga secara lebih berhemah di peringkat rumah dan perniagaan, kita secara kolektif dapat membantu meringankan tekanan terhadap ekonomi negara,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ahli Dewan Negara itu berkata, beliau akan terus memastikan suara rakyat didengari supaya mekanisme bantuan bersasar oleh kerajaan dapat disalurkan kepada golongan yang paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.








