Accessibility Tools

Skip to main content

Sesi ramah mesra pemimpin–mahasiswa anak Kelantan ruang terbaik dengar aspirasi generasi muda

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 12 Mac – Sesi ramah mesra antara pimpinan negeri dan wakil persatuan mahasiswa anak Kelantan menjadi platform terbaik untuk bertukar pandangan serta mendengar aspirasi generasi muda.

Demikian kenyataan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat ketika mengadakan pertemuan bersama sembilan wakil pemimpin persatuan mahasiswa anak Kelantan dalam satu sesi ramah mesra yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Exco, di Mabna, hari ini.

Menurutnya, dialog secara langsung dengan mahasiswa penting bagi memastikan pandangan serta keperluan generasi muda, khususnya anak Kelantan yang menuntut di institusi pengajian tinggi, dapat difahami dengan lebih jelas oleh pihak kerajaan negeri.

“Sesi ini merupakan ruang terbaik untuk bertukar pandangan dan mendengar aspirasi mahasiswa, di samping memperkukuh hubungan antara pimpinan negeri dan golongan intelektual muda,” jelasnya.

Dalam pertemuan tersebut, Dato' Wan Roslan turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada semua persatuan mahasiswa yang hadir sebagai tanda sokongan kerajaan negeri terhadap kebajikan serta gerak kerja persatuan mahasiswa anak Kelantan di perantauan.

Beliau juga berharap sumbangan tersebut dapat membantu persatuan mahasiswa melaksanakan pelbagai program pembangunan akademik, kepimpinan serta aktiviti kemasyarakatan.

“Semoga usaha ini menjadi asbab memperkukuh ukhuwah serta menyemarakkan semangat anak Kelantan untuk terus menimba ilmu dan kembali menyumbang kepada negeri serta ummah,” katanya.

Turut hadir dalam sesi berkenaan, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad, Penolong Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Roasfanizam Din serta dua Penolong Pengarah Kanan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Ahmad Zaharudin Zaid dan Mohd Farhan Fauzai.