Accessibility Tools

Skip to main content

19 pasukan keselamatan di Kelantan terima sumbangan kuih raya

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 12 Mac - Sebanyak 19 pasukan keselamatan di Kelantan menerima sumbangan kuih raya daripada kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan dan keamanan negeri terus terpelihara.

Sumbangan berkenaan disampaikan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud kepada wakil pasukan keselamatan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Dato' Mohd Nasuruddin berkata, pengorbanan serta komitmen tinggi anggota pasukan keselamatan dalam menjalankan tugas masing-masing bagi memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara dan sememangnya wajar dihargai serta disanjung tinggi oleh kerajaan negeri.

“Tanpa komitmen, pengorbanan dan peranan yang dimainkan oleh tuan-tuan sekalian, sudah tentu sukar untuk kita menikmati suasana kehidupan yang aman, tenteram dan sejahtera seperti yang dikecapi pada hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud

Jelas beliau lagi, sejak akhir-akhir ini terdapat beberapa pihak yang cuba menimbulkan kekeruhan serta menggugat keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.

Namun katanya, kerajaan negeri menaruh keyakinan penuh terhadap pasukan keselamatan untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan, ketenteraman dan keamanan negara sentiasa terpelihara.

Dalam pada itu, beliau berkata tugas sebagai anggota keselamatan merupakan satu amanah besar yang dipandang tinggi dalam Islam dan boleh dianggap sebagai satu cabang jihad sekiranya dilaksanakan dengan penuh amanah, kejujuran dan keadilan.

“Namun kemuliaan tugas ini boleh tercemar sekiranya ia disalahgunakan atau dijalankan tanpa etika dan prinsip yang betul,” ujarnya.

Beliau turut mengakui sebahagian anggota keselamatan terpaksa bertugas secara bergilir walaupun pada hari raya Aidilfitri, sekali gus terpaksa berjauhan dengan keluarga pada pagi perayaan.

“Jika tidak didorong oleh semangat, disiplin dan komitmen yang tinggi, tanggungjawab ini sukar untuk dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri setiap tahun mengambil inisiatif menyediakan cenderamata berupa kuih raya kepada anggota keselamatan yang bertugas pada Aidilfitri sebagai tanda ingatan dan penghargaan atas bakti mereka.

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, anggaplah ia sebagai tanda penghargaan daripada Kerajaan Negeri Kelantan di atas jasa dan pengorbanan tuan-tuan semua,” katanya.

Antara pasukan keselamatan yang menerima sumbangan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Negeri Kelantan, Jabatan Imigresen Negeri Kelantan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Kelantan (MKN).

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean al-Haj Tengku Feissal, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan YB Dato' Idham Abdul Ghani, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan YB Dato' Rosnazli Amin dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan.