Accessibility Tools

Skip to main content

Penggali Kubur antara 256 penerima keraian sempena Aidilfitri DUN Demit

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Media Exco

KUBANG KERIAN, 12 Mac – Penggali kubur antara 256 individu yang menerima keraian sempena Aidilfitri peringkat DUN Demit sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat bakti mereka kepada masyarakat.

Penerima lain yang turut diraikan termasuk imam madrasah, guru PASTI serta ketua cawangan yang selama ini memainkan peranan penting dalam memakmurkan institusi agama, pendidikan dan kebajikan masyarakat di peringkat akar umbi.

Program berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Demit yang juga Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud di Pusat Khidmat DUN Demit, semalam.

YB Mohd Asri menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta menegaskan bahawa sumbangan golongan berkenaan amat besar dalam memastikan kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.

“Golongan imam, guru PASTI, ketua cawangan serta penggali kubur memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat. Mereka bukan sahaja berkhidmat dalam urusan agama dan kebajikan, malah sentiasa berada di hadapan dalam membantu masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penganjuran program keraian tersebut sebagai satu bentuk penghargaan kepada mereka yang telah lama berkhidmat kepada masyarakat, di samping mengeratkan hubungan antara pimpinan dan para petugas di peringkat komuniti.
“Majlis ini dianjurkan sebagai usaha menghargai peranan para petugas masyarakat yang menjadi tulang belakang dalam memperkukuh institusi kemasyarakatan, termasuk golongan penggali kubur yang sering menjalankan tanggungjawab penting dalam pengurusan jenazah.

“Semoga keraian kecil sempena Aidilfitri ini dapat menzahirkan rasa penghargaan kita kepada mereka yang telah banyak berjasa. Mudah-mudahan hubungan yang terjalin ini terus diperkukuh demi kesejahteraan masyarakat di DUN Demit,” ujarnya.