Exco Sukan serikan futsal ukhuwah alumni KFLI
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 12 Mac – Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad diundang menyerikan Program Kick & Bond: Futsal Ukhuwah yang berlangsung di Gelangggang Futsal Mulong, di sini, pada Selasa.
Menurut YB Zamakhshari, program sukan itu merupakan inisiatif pihak penganjur bagi memperkukuh ukhuwah serta mengekalkan kesinambungan hubungan antara alumni Kelantan Future Leaders Institute (KFLI).
“Program ini adalah kesinambungan kepada pelbagai inisiatif KFLI sebelum ini, yang bertujuan memastikan alumni terus berhubung dan memupuk semangat kebersamaan walaupun selepas tamat program utama. Melalui aktiviti seperti futsal, alumni KFLI dapat terus berhubung, berkongsi pengalaman dan mengukuhkan ukhuwah yang telah dibina sepanjang program berlangsung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Program santai itu turut melibatkan beberapa kohort KFLI iaitu FLA-01, FLB-01, FLC-01 dan FLB-02, Ahli Rakan Muda Al-Quran (RMQ) serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia.
YB Zamakhshari juga menyifatkan aktiviti sukan mampu memberi ruang kepada belia untuk beriadah secara sihat sekali gus menjadi medium penting dalam membina disiplin, semangat berpasukan serta memperkukuh hubungan antara peserta.
Tambahnya, sepanjang Ramadan, pelbagai aktiviti telah dijalankan hasil inisiatif semua kohort termasuk Misi Santuni Asnaf, Bengkel Urus Diri: Menstruasi dan Saya, program moreh, iftar, street dakwah dan agihan kuih raya bagi menghidupkan suasana kebersamaan dalam kalangan alumni KFLI.












