Umat Islam diseru hayati peranan ‘sebaik-baik umat’
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM,12 Mac — Umat Islam diseru menghayati perananya sebagai “sebaik-baik umat” dengan melaksanakan tanggungjawab menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) dalam kehidupan bermasyarakat.
Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, berkata kemuliaan umat Nabi Muhammad SAW seperti yang dijanjikan dalam al-Quran tidak terbatas kepada sesuatu bangsa atau generasi tertentu, sebaliknya terbuka kepada semua yang beriman dan melaksanakan tanggungjawab memperbaiki masyarakat.
Beliau berkata, perkara itu dijelaskan dalam Surah Ali Imran ayat 110 yang menyifatkan umat Nabi Muhammad SAW sebagai sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia kerana menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah SWT.
“Keistimewaan ini memberi peluang kepada setiap Muslim untuk menjadi sebahagian daripada sebaik-baik umat sekiranya sifat-sifat tersebut diterjemahkan dalam bentuk tindakan,” katanya menerusi perkongsian Bingkisan Ramadan 1447H – Siri 20 siaran media sosialnya pada Selasa.
Menurutnya, ketika umat Islam berdepan arus pemikiran batil serta pelbagai masalah sosial yang semakin kompleks, keadaan itu menunjukkan betapa pentingnya lahir generasi yang mampu memikul tanggungjawab dakwah dan islah dalam masyarakat.
Katanya, usaha tersebut tidak mampu digalas oleh individu semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan secara berjemaah dengan matlamat serta hala tuju Islam yang jelas.
Beliau turut mengambil ibrah sirah para rasul yang memperlihatkan bahawa perjuangan dakwah sentiasa didukung oleh para pengikut setia, termasuk golongan hawariyyun yang berdiri teguh bersama Nabi Isa AS dalam menyeru kaumnya mentauhidkan Allah SWT.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar menyambut janji untuk menjadi sebaik-baik umat dengan keyakinan dan kesungguhan, termasuk melibatkan diri dalam gerakan dakwah yang menyeluruh.
“Umat Islam perlu menggembleng kekuatan secara bersama bagi memperkukuh masyarakat serta memastikan syariat Islam dapat ditegakkan dalam kehidupan,” tegasnya.








