Had operasi bazar Aidilfitri sehingga 12 malam
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 11 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan had operasi bazar Aidilfitri sehingga pukul 12 malam, namun peniaga masih dibenarkan meneruskan jualan sekiranya terdapat lebihan barang dan sambutan pengunjung yang masih ramai.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, kelonggaran tersebut diberikan bagi membantu peniaga menghabiskan jualan, namun aspek kebersihan perlu menjadi keutamaan semua pihak.
Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri memberi kebenaran operasi lebih masa, namun terdapat segelintir peniaga meninggalkan sampah selepas berniaga sehingga menjejaskan kebersihan kawasan bazar.
“Kerajaan Negeri akan membayar sumbangan Aidilfitri kepada lebih 700 petugas kebersihan di seluruh negeri yang akan bekerja pada malam dan pagi Hari Raya bagi membersihkan sampah-sampah yang ditinggalkan, khususnya di kawasan bazar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kota Darul Naim, hari ini.
Sehubungan itu, YB Hilmi menasihati para peniaga bazar terutama pada malam raya supaya mengemas semula premis perniagaan masing-masing termasuk khemah serta memastikan kawasan sekitar berada dalam keadaan bersih selepas tamat operasi.
“Jika kita dapat kenal pasti peniaga yang gagal menjaga kebersihan, mereka boleh disenarai hitam daripada mendapatkan lesen pada masa akan datang dan juga boleh dikenakan kompaun kerana melanggar undang-undang kecil kebersihan,” jelasnya.
Tambahnya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan bandar dan kawasan tumpuan awam kekal bersih supaya masyarakat dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana yang selesa dan sejahtera.








