138 guru baharu YIK sertai kursus asas perguruan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 11 Mac – Sebanyak 138 guru baharu Yayasan Islam Kelantan (YIK) menyertai Kursus Asas Guru Baharu Siri 1/2026 sebagai persediaan awal sebelum memulakan tugas dalam bidang pendidikan.
Kursus dua hari bermula 9 hingga 10 Mac di Bilik Seminar Yayasan Islam Kelantan tersebut bertujuan memperkukuhkan kefahaman para guru mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai pendidik, selain membekalkan asas profesional keguruan bagi melaksanakan amanah mendidik generasi pelajar di bawah institusi pendidikan YIK.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar, yang turut menyampaikan amanat kepada para peserta agar melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan penuh keikhlasan, komitmen serta kesungguhan.
“Profesion perguruan bukan sekadar menyampaikan ilmu di bilik darjah, sebaliknya merupakan satu amanah besar dalam membentuk sahsiah dan masa depan generasi muda yang bakal memimpin masyarakat.
“Kursus ini juga adalah platform awal bagi membantu guru baharu memahami hala tuju pendidikan di bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan, selain mempersiapkan mereka menyesuaikan diri dengan profesion perguruan secara lebih sistematik dan berkesan.
“Sepanjang kursus berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian penting meliputi aspek pengurusan sekolah, etika perguruan, pengurusan bilik darjah dan tarbiah, pengurusan kokurikulum serta peranan guru sebagai pendidik yang menjadi tonggak pembentukan insan,” jelasnya.
Kursus berkenaan turut membuka ruang kepada para peserta untuk berkongsi pengalaman, bertukar pandangan serta mengeratkan hubungan sesama warga pendidik, sekali gus membina jaringan profesional dalam kalangan guru YIK.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan harapan agar kursus berkenaan dapat melahirkan barisan guru yang cemerlang dalam penyampaian ilmu dan berperanan membentuk sahsiah pelajar, memimpin generasi masa depan serta menyemai nilai-nilai Islam dalam sistem pendidikan negeri.
















