Pasar Raya di Kelantan ditutup Hari Raya Pertama, kebajikan pekerja diutamakan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARUL NAIM, 11 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan memutuskan untuk menutup sepenuhnya operasi premis perniagaan tertentu di seluruh negeri ini pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha bagi tahun ini.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selaras dengan hasil Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang berlangsung, hari ini.
Menurutnya, keputusan tersebut melibatkan penutupan operasi bagi kompleks beli-belah, pasar raya besar serta pasar raya di seluruh Kelantan pada hari pertama kedua-dua perayaan tersebut.
“Kerajaan negeri telah memutuskan supaya premis-premis perniagaan tertentu iaitu kompleks beli-belah, pasar raya besar dan pasar raya di seluruh Kelantan ditutup sepenuhnya pada hari raya pertama Aidilfitri dan Aidiladha,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini
Bagaimanapun, jelas beliau, bagi premis makanan segera dan kedai serbaneka, operasi hanya dibenarkan bermula selepas jam 1.00 petang pada hari raya pertama bagi kedua-dua perayaan tersebut.
“Premis makanan segera dan kedai serbaneka hendaklah ditutup sehingga pukul 1.00 petang pada hari raya pertama Aidilfitri dan Aidiladha, dan hanya dibenarkan beroperasi selepas waktu tersebut,” jelasnya.
Menurut YB Hilmi lagi, keputusan itu dibuat setelah kerajaan negeri mengambil kira aspek kebajikan pekerja pasar raya yang sebelum ini terkesan apabila operasi premis hanya ditutup separuh hari pada musim perayaan.
“Pada tahun lalu, kita menggunakan garis panduan dengan menutup operasi separuh hari. Namun, keadaan tersebut menyebabkan ramai pekerja pasar raya merasakan suasana hari raya tidak dapat dinikmati sepenuhnya bersama keluarga,” ujarnya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil pertimbangan terhadap rayuan yang dikemukakan oleh persatuan pekerja pasar raya agar mereka diberikan peluang menikmati hari raya sepenuhnya bersama ahli keluarga.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah tersebut juga selari dengan roh syiar Islam yang menjadi teras kepada dasar pentadbiran negeri, iaitu Membangun Bersama Islam, yang mengangkat kepentingan memuliakan hari raya sebagai hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa.
“Kerajaan negeri mahu memelihara tradisi masyarakat Melayu Islam yang menjadikan hari raya sebagai hari besar untuk berkumpul dan meluangkan masa bersama keluarga sepanjang hari,” katanya.
Dalam masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya merancang pembelian barangan keperluan lebih awal sebelum tamat waktu operasi premis perniagaan pada malam hari raya.
Tambahnya, mana-mana pasar raya yang mempunyai keperluan khusus untuk melanjutkan waktu operasi perniagaan masih boleh mengemukakan permohonan kepada pihak kerajaan negeri untuk pertimbangan lanjut.
Keputusan tersebut diharapkan dapat memberi ruang kepada para pekerja sektor peruncitan untuk menyambut hari raya dengan lebih bermakna bersama keluarga, di samping terus memelihara nilai budaya dan syiar Islam di Kelantan.








