211 pelajar asnaf SMUA Al-Hasaniah disantuni TMB Kelantan, Kelab Kelantan Bikers
Oleh: Irham Hilmi Hashim
MACHANG, 11 Mac – Sebanyak 211 pelajar asnaf Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al-Hasaniah, Pangkal Jenereh menerima sumbangan zakat dalam Majlis Kesyukuran dan Iftar Perdana yang disantuni oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan bersama Kelab Kelantan Bikers, semalam.
Majlis tersebut diserikan dengan perarakan lebih 90 buah motosikal berkuasa tinggi memasuki dataran sekolah yang diketuai Presiden Kelab Kelantan Bikers Mohd Amin Mohd Nawawi bersama ahli Kelab Rider YIK dan Alternative Rider Club.
Dalam ucapan perasmian, Dato’ Dr Mohamed Fadzli mengingatkan para pelajar agar berusaha menjadi insan yang cemerlang dalam aspek ilmu dan akhlak.
“Semua pelajar dituntut menjadi insan yang cemerlang dalam pelbagai aspek sehingga mampu kembali berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Selaku Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Dato’ Mohamed Fadzli Hassan juga menyampaikan sumbangan zakat kepada para pelajar asnaf tajaan Kelab Kelantan Bikers dan Alternative Rider Club kepada pihak sekolah yang diwakili Pengetua Mohd Fitri Umar.
Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar yang mengiringnya turut menyampaikan sumbangan zakat kepada para pelajar asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan golongan berkenaan.
Shamsul juga menyeru para pelajar agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang akademik serta melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum sebagai persediaan membina masa depan yang cemerlang.
“Semua pelajar perlu bersungguh-sungguh dalam pelajaran serta menjadikan kurikulum dan kokurikulum sebagai komitmen utama supaya mampu menjadi aset bernilai kepada sekolah dan negeri.
“Penyertaan dalam kelab, persatuan dan pelbagai program yang dianjurkan pihak sekolah juga penting sebagai nilai tambah dalam membentuk potensi diri,” katanya.
Majlis berakhir dengan solat Maghrib berjemaah diikuti jamuan iftar perdana bersama para pelajar dan tetamu.
Turut hadir, Presiden Persatuan Alumni Maahad Syamsul Maarif Lelaki Muhammad Amiri Ab Ghani serta Timbalan Yang Dipertua PIBG sekolah, Wan Hussein Wan Ali.














