Accessibility Tools

Skip to main content

200 armalah DUN Salor terima sumbangan kerajaan negeri

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Page FB PKD Salor

KOTA BHARU, 11 Mac – Sebanyak 200 armalah di Dewan Negeri (DUN) Salor menerima sumbangan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Armalah Kerajaan Negeri Kelantan 2026 yang berlangsung di Dewan Seminar Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sini, pada Ahad.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor YB Saizol Ismail berkata, program tersebut diadakan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan golongan armalah dan mereka yang memerlukan terus mendapat perhatian dan sokongan berterusan.

Menurutnya, sumbangan yang disampaikan tersebut merupakan fasa pertama bagi membantu meringankan beban penerima, khususnya dalam membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Alhamdulillah hari ini kita berjaya menyampaikan hasrat kerajaan negeri melalui sumbangan kepada 200 armalah di DUN Salor. Program hari ini adalah fasa pertama. Insya Allah sekitar Mei atau Jun Siri 2 pula dilaksanakan.

“Kebanyakan penerima merupakan ibu tunggal yang mempunyai tanggungan. Tidak kira apa pun bangsa dan agamanya, semua disantuni.

"Ada yang menjaga anak sendiri dan ada juga yang menjaga cucu kerana sebahagiannya telah kehilangan ibu bapa,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.

Kata beliau lagi, terdapat juga dalam kalangan penerima yang membesarkan cucu yang ibu bapa mereka telah meninggal dunia, menyebabkan cucu tersebut menumpang kasih dan dijaga oleh nenek mereka.
“Sumbangan yang diberikan walaupun tidak besar, diharap dapat memberi sedikit kegembiraan kepada golongan berkenaan.

“Insya Allah sumbangan ini adalah tanda ingatan dan kasih sayang kerajaan negeri kepada armalah agar mereka sedar bahawa mereka tidak bersendirian dalam menjaga keluarga. Moga bantuan ini dapat menambah keceriaan mereka, khususnya dengan sambutan Hari Raya yang semakin hampir,” katanya.