Accessibility Tools

Skip to main content

Kempen menutup aurat agenda berterusan di Kelantan – Pengarah U-KekWa

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media U-Kekwa

KOTA BHARU, 11 Mac – Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Ilvira Mohd Dasuki menegaskan bahawa kempen menutup aurat adalah agenda berterusan Kerajaan Negeri Kelantan melalui pelbagai program pendidikan dan dakwah kepada masyarakat di Kelantan.

Menurutnya, kempen tersebut merupakan antara inisiatif yang tidak pernah terhenti dalam usaha memberi kefahaman kepada rakyat mengenai tuntutan syariat Islam.

“Kerajaan negeri sentiasa komited memastikan mesej mengenai kepentingan menjaga aurat terus disampaikan kepada masyarakat melalui program berbentuk ilmiah dan kesedaran.

“Menjaga aurat merupakan perintah Allah SWT dan ia perlu difahami oleh seluruh masyarakat. Wanita yang berhijab juga sebenarnya menjadi agen dakwah yang menyampaikan nilai Islam secara lembut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam program Sambutan Kelantan Hijab Day yang berlangsung di Madinah Ramadan, perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, semalam.

Program tersebut berjaya menghimpunkan lebih 900 peserta yang hadir untuk menimba ilmu serta menambah amal melalui pengisian yang disediakan.

Tambahnya, wanita yang menjaga maruah serta aurat memainkan peranan penting dalam membentuk institusi keluarga yang berteraskan konsep Sakinah, Mawaddah dan Warahmah.