Accessibility Tools

Skip to main content

Didik anak fahami aurat sejak kecil – Dato' Rohani

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 11 Mac – Pendidikan mengenai kewajipan menutup aurat perlu diterapkan kepada anak-anak sejak kecil bagi membentuk generasi yang memahami tuntutan agama serta menjaga maruah diri.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, pendidikan mengenai aurat perlu bermula dari rumah melalui bimbingan dan contoh yang baik daripada ibu bapa.

Menurutnya, apabila anak-anak dibesarkan dengan asas agama yang kukuh, mereka akan memahami bahawa hijab bukan sekadar pakaian, sebaliknya lambang ketaatan kepada perintah Allah SWT.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sambutan Kelantan Hijab Day yang diadakan di Madinah Ramadan, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, semalam.

Program tersebut turut menampilkan forum bertajuk “Hijab: Indah Dalam Kesederhanaan” bersama selebriti jemputan Ardel Aryana dan personaliti dakwah Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki yang berkongsi pandangan mengenai keindahan menutup aurat serta kemuliaan wanita yang menjaga maruah diri.

Dato' Rohani turut merakamkan penghargaan kepada lebih 900 peserta yang hadir memeriahkan program tersebut.

“Terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan program ini. Mudah-mudahan kehadiran kita hari ini memberi kesedaran dan inspirasi, bukan sahaja kepada masyarakat di luar sana, tetapi juga kepada diri kita dan keluarga kita sendiri,” ujarnya.

Tambahnya, keindahan Islam terserlah apabila seorang wanita menutup aurat dengan sempurna kerana ia membolehkan mereka menunaikan solat di mana sahaja selagi pakaian yang dipakai bersih, suci dan menepati syarat menutup aurat.

Beliau turut menasihatkan para pelajar sekolah yang hadir agar memanfaatkan ilmu yang diperolehi sebagai panduan dalam kehidupan.

“Jagalah ilmu yang diperoleh hari ini sebaiknya kerana ilmu itulah yang akan membimbing kehidupan kalian pada masa hadapan,” jelasnya.