AKSB santuni keluarga asnaf di DUN Kijang menerusi program CSR
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 11 MAC - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyantuni sepuluh keluarga asnaf di kawasan Dewan Negeri (DUN) Kijang, menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Ramadan.
Program tersebut turut disertai Pegawai Khas kepada Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Taufiq Ramli bersama pasukan AKSB yang turun padang menyampaikan sumbangan kepada penerima terpilih.
Exco portfolio berkaitan, YB Dato' Dr Izani yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang berkata, inisiatif berkenaan adalah tanda keprihatinan berterusan AKSB dalam membantu masyarakat yang memerlukan, khususnya golongan asnaf.
Katanya, bantuan itu diharap dapat meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menjelang musim perayaan yang bakal tiba.
“Semoga sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penerima, khususnya dalam membuat persiapan menghadapi musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Mudah-mudahan usaha kecil ini membawa kegembiraan kepada mereka serta mengeratkan lagi semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam masyarakat.
“Semoga lebih banyak pihak terus bersama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.
Program CSR AKSB sempena Ramadan 1447 Hijrah itu menyantuni golongan asnaf di Mukim Kijang dan Mukim Binjai dalam kawasan DUN berkenaan pada Isnin.
Dalam program itu, sebanyak sepuluh keluarga asnaf menerima sumbangan berupa barangan keperluan dapur, air mineral, kain tudung serta wang tunai bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang baki Ramadan ini.














