NGO diseru kekal telus urus kewangan, fokus program berimpak tinggi
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 10 Mac — Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini diseru agar terus mengekalkan ketelusan dalam pengurusan kewangan selain menumpukan pelaksanaan program berimpak tinggi yang mampu membangunkan jati diri serta kemahiran masyarakat.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, NGO merupakan kelompok masyarakat yang peka serta memiliki tahap kepedulian tinggi terhadap keperluan dan kebajikan komuniti setempat.
Menurutnya, aspek tadbir urus kewangan perlu diberi perhatian serius memandangkan organisasi berkenaan tertakluk kepada proses audit oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Peruntukan yang disediakan hanya sekitar RM200,000. Oleh itu, NGO perlu mengemukakan kertas kerja program yang benar-benar berimpak tinggi kepada masyarakat, khususnya yang dapat membangunkan jati diri serta kemahiran ahli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Iftar NGO Negeri Kelantan 2026 yang dihadiri 300 wakil NGO di sebuah hotel di sini, semalam.
Dalam pada itu, YB Zamakhshari turut menyaran Konfederasi NGO Kelantan (KNK) agar memainkan peranan menyelaras perancangan program secara lebih strategik bersama rakan-rakan NGO di negeri ini.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan kertas kerja program yang telah melalui proses tapisan dan penyelarasan oleh KNK dapat dikemukakan secara lebih teratur kepada pihak kerajaan negeri.
“Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa membuka ruang kepada NGO kerana kita yakin kepada latar belakang serta kepakaran warga NGO. Gabung jalin dengan sukarelawan yang dipantau KNK mampu menganjurkan program yang memberi impak besar kepada kerajaan negeri, selari dengan roh Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI),” jelasnya.
Beliau juga merakamkan penghargaan dan tahniah kepada rakan-rakan NGO yang terus istiqamah menyumbang tenaga serta kepakaran dalam usaha membangunkan masyarakat dan memperkukuh kesejahteraan sosial di negeri ini.














