Semua pihak digesa kekang gejala parah dalam masyarakat - Exco Agama
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 10 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan menggesa penglibatan kolektif daripada semua pihak bagi mengekang penularan gejala parah dalam masyarakat demi memastikan agenda pembangunan Islam di negeri ini terus terpelihara.
Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menegaskan bahawa tanggungjawab tersebut tidak seharusnya diletakkan di bahu agensi agama semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan aktif daripada semua jabatan dan lapisan masyarakat.
“Mengekang gejala parah dalam masyarakat bukan sekadar tugas agensi agama, tetapi amanah kolektif semua pihak agar masyarakat negeri ini kekal harmoni dan hidup dalam keadaan tenteram tanpa dicemari gejala yang rosak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan yang berlangsung di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim, semalam.
Dalam mesyuarat berkenaan, pelbagai perkara berkaitan hal ehwal pentadbiran Islam telah dibincangkan termasuklah aspek penyelarasan program dakwah di seluruh jajahan dan agensi.
Tambahnya, fokus turut diberikan kepada usaha membawa budaya cara hidup bersyariat (shariah life) terus ke lapangan serta melakukan penambahbaikan terhadap pengurusan agenda pembangunan Islam secara menyeluruh.
Beliau juga memberi penekanan serius agar semua pihak sentiasa peka dan memainkan peranan khas masing-masing bagi memastikan Kelantan kekal harmoni tanpa dicemari dengan gejala sosial yang meluas.
Turut hadir, Timbalan Exco Penerangan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah dan Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad.












