Kelantan sokong pembangunan ekonomi digital belia
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 16 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan menyokong penuh usaha memperkasa belia melalui pembangunan ekonomi digital selaras dengan perubahan landskap ekonomi masa kini.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad berkata inisiatif berkenaan dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada belia Kelantan untuk menceburi bidang keusahawanan digital sekali gus meningkatkan daya saing mereka di peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, pembangunan ekonomi digital dalam kalangan belia penting bagi memastikan generasi muda negeri ini tidak ketinggalan dalam memanfaatkan kemajuan teknologi serta peluang ekonomi baharu yang semakin berkembang.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan daripada Sekretariat Kelantan Youth Digitalpreneur (KYD) bagi satu sesi pertemuan dan pembentangan berkaitan perancangan pembangunan usahawan digital belia di negeri ini, di bilik mesyuarat pejabat exco, pada Khamis.
Katanya, dalam pertemuan tersebut turut berlangsung pelantikan rasmi Sekretariat KYD sebagai pasukan yang akan menggerakkan agenda pembangunan ekonomi digital dalam kalangan belia di Kelantan.
"Perbincangan turut menyentuh hala tuju serta kerangka pelaksanaan inisiatif KYD bagi tahun 2026 yang bertujuan memperkukuh penglibatan belia dalam sektor ekonomi digital di samping membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk memanfaatkan perkembangan teknologi masa kini," katanya menerusi media sosial, pada Jumaat.
YB Zamakhshari turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekretariat atas komitmen serta idea yang dibentangkan dalam usaha memperkasa ekonomi digital belia negeri ini.
Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat direalisasikan dengan baik demi manfaat serta masa depan belia Kelantan.
Untuk rekod, Sekretariat KYD merupakan pasukan yang dilantik untuk menggerakkan agenda pembangunan ekonomi digital dalam kalangan belia di Kelantan, di bawah sokongan kerajaan negeri.
Pasukan ini bertanggungjawab merancang dan melaksanakan inisiatif pembangunan usahawan digital belia bagi tahun 2026, bertujuan memperkukuh penglibatan generasi muda dalam sektor ekonomi digital.












