Kematian doktor pelatih: Dr Wan Martina gesa siasatan menyeluruh isu tekanan kerja, buli
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Satu siasatan menyeluruh dan telus perlu dijalankan bagi mengenal pasti faktor sebenar di sebalik kematian seorang doktor pelatih yang ditemui maut di asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), pada Jumaat lalu.
Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, tragedi yang menimpa bakat muda dalam bidang perubatan itu merupakan satu kehilangan besar kepada negara, khususnya rakyat Kelantan.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian tersebut.
Menurutnya, rentetan laporan media yang menyatakan punca kematian akibat tekanan pada leher dan diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR), pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) digesa menjalankan siasatan yang lebih terperinci.
"Walaupun laporan awal polis menyatakan tiada unsur jenayah, faktor-faktor penyumbang yang mungkin membawa kepada tragedi itu tidak boleh dipandang ringan" katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Antara kebimbangan yang dibangkitkan beliau ialah kemungkinan tekanan kerja melampau dalam kalangan doktor pelatih, termasuk beban tugas yang tinggi serta tempoh bekerja yang panjang sehingga boleh menyebabkan keletihan mental dan fizikal.
Selain itu, beliau turut menegaskan isu buli di tempat kerja tidak boleh dinafikan dan perlu disiasat secara teliti memandangkan budaya tersebut dikhuatiri masih wujud secara tersembunyi dalam sistem latihan perubatan.
“Siasatan perlu melihat rekod kerja mangsa secara terperinci serta mendapatkan testimoni daripada rakan sejawat Allahyarham bagi memastikan tiada unsur intimidasi atau gangguan mental yang berlaku,” ujarnya.
Ahli Dewan Negara itu juga menyifatkan tragedi tersebut sebagai satu peringatan penting bahawa sistem sokongan kesihatan mental untuk pegawai perubatan muda perlu diperkasakan segera tanpa sebarang stigma.
Beliau turut menyambut baik langkah JKNK menubuhkan jawatankuasa siasatan khas dan berharap dapatan siasatan itu dapat didedahkan secara telus kepada umum.
Menurutnya, ketelusan tersebut penting bagi memastikan penambahbaikan sistem dapat dilakukan sekali gus mengelakkan kejadian sama daripada berulang pada masa hadapan.








