50 anak istimewa disantuni dalam program kebajikan Ramadan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 10 Mac – Sebanyak 50 anak-anak istimewa disantuni Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Mas YB Dato’ Rohani Ibrahim dalam Program Bubur Lambuk, Agihan Zakat dan Bakul Ramadan.
Program anjuran Persatuan Sindrom Down Malaysia dan Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan (PSDNK) yang berlangsung di Min House, Kubang Kerian pada Ahad.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Rohani menekankan bahawa program seumpama itu dapat menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan menjadi platform penting untuk memperkukuh ukhuwah serta menyemai nilai kasih sayang dalam masyarakat.
Beliau menekankan bahawa perhatian dan sokongan berterusan amat diperlukan bagi memastikan anak-anak Sindrom Down terus diberi ruang untuk berkembang serta dihargai dalam masyarakat.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita ,YB Dato’ Rohani Ibrahim
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan dan ahli PSDNK atas komitmen mereka dalam menganjurkan pelbagai program kebajikan demi kesejahteraan anak-anak istimewa di negeri ini.
“Kesungguhan dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh semua pihak jelas mencerminkan semangat kebersamaan dalam mewujudkan persekitaran masyarakat yang lebih positif, inklusif dan penuh rahmah,” ujarnya.
Turut hadir, Penasihat PSDNK Dato’ Prof Ab Aziz Ab Latiff, Ketua Pusat Transformasi OKU USM–MAIK Dr Mohd Zulkifli Ab Rahim, Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia Hanizan Husin dan Penyelaras Pembangunan OKU Kelantan Nurul Ikhwan Mohd Suhaimi.












