Accessibility Tools

Skip to main content

Peranan wanita wajar diiktiraf – MB Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 10 Mac – Peranan wanita dalam pelbagai lapangan kehidupan wajar diiktiraf dan dihargai kerana sumbangan mereka amat penting dalam membina keluarga yang kukuh serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud berkata, wanita memainkan peranan besar dalam institusi keluarga dan menjadi tonggak penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar bergandingan serta saling menghormati dan melengkapi antara satu sama lain bagi membina keluarga yang bahagia, masyarakat yang aman serta negeri yang diberkati.

“Dengan semangat kerjasama dan sikap saling menghargai, in sha Allah kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia serta membina masa depan yang lebih baik,” katanya media sosial pada Ahad.

Tambahnya, dalam menghadapi cabaran kehidupan berkeluarga masa kini, kaum lelaki hendaklah memainkan peranan sebagai qawwam, iaitu pemimpin yang membimbing dan melindungi wanita dengan penuh hikmah serta tanggungjawab.

Katanya lagi, kepimpinan yang baik serta sikap saling bertolak ansur antara suami dan isteri mampu membina keluarga yang bahagia walaupun berdepan pelbagai ujian kehidupan.

Beliau turut memetik sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap wanita-wanita kamu.”

Selain itu, beliau juga berkongsi hadis Rasulullah SAW yang menekankan kepentingan berbuat baik kepada wanita serta cara berinteraksi dengan mereka sesuai dengan fitrah kejadian mereka.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Berpesan-pesanlah kamu untuk berbuat baik kepada wanita, kerana sesungguhnya wanita diciptakan daripada tulang rusuk. Bahagian yang paling bengkok pada tulang rusuk ialah bahagian atasnya. Jika kamu cuba meluruskannya, nescaya kamu akan mematahkannya; dan jika kamu membiarkannya, ia akan tetap bengkok. Oleh itu, berpesan-pesanlah kamu agar sentiasa berbuat baik kepada wanita.”

Sempena sambutan Hari Wanita yang jatuh pada 8 Mac setiap tahun, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada seluruh wanita, khususnya wanita di negeri Kelantan.