PBT diminta pastikan kebersihan bandar sepanjang Ramadan
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 10 Mac – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri diminta terus memperkukuh pengurusan kebersihan dan keceriaan bandar sepanjang bulan Ramadan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata perkara itu ditekankan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan (JKKT) Bilangan 1/2026 yang berlangsung di Bilik Gerakan Negeri, Tingkat 1 Bangunan MABNA-MBI, semalam.
Menurutnya, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua PBT yang berjaya mengurus operasi serta penganjuran bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di kawasan masing-masing dengan baik.
“Pada masa yang sama, saya menuntut kerjasama semua PBT untuk terus memastikan kebersihan serta keceriaan kawasan bandar sentiasa terpelihara sepanjang Ramadan,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi beliau.
Tambahnya, PBT juga perlu bersedia menghadapi peningkatan jumlah kenderaan dan kehadiran warga perantau yang pulang ke kampung menjelang Aidilfitri, yang dijangka memberi kesan kepada aliran trafik serta pertambahan sisa pepejal khususnya pada malam raya.
Mesyuarat tersebut dihadiri semua Yang Dipertua dan Setiausaha PBT di negeri ini, selain turut disertai wakil-wakil agensi serta jabatan berkaitan.







