Accessibility Tools

Skip to main content

Jadikan al-Quran rujukan dalam pembangunan negara – Exco Agama

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 7 Mac – Al-Quran perlu dijadikan rujukan utama dalam pembangunan negeri dan negara bagi memastikan setiap dasar serta pelaksanaan pembangunan selari dengan ajaran Islam.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata Islam tidak menolak kemodenan, namun setiap bentuk kemajuan perlu dipandu oleh al-Quran sebagai pedoman dalam kehidupan umat Islam.

Menurutnya, al-Quran seharusnya menjadi rujukan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk dalam urusan pentadbiran, pembangunan serta dasar negara.

“Al-Quran perlu dijadikan rujukan dalam setiap urusan kehidupan umat Islam termasuk dalam aspek pembangunan dan pentadbiran negeri serta negara.

“Usaha untuk mengimplementasikan agenda Perlembagaan Persekutuan agar selari dengan syariat juga merupakan tanggungjawab pemimpin negara yang beragama Islam,” katanya dalam Perutusan Penghayatan Nuzul al-Quran yang disiarkan melalui media sosial, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa usaha tersebut memerlukan kesungguhan serta komitmen politik yang jelas daripada pihak kerajaan bagi memastikan umat Islam dapat melaksanakan tuntutan syariah tanpa polemik berpanjangan.

Dalam pada itu, YB Mohd Asri turut menjelaskan bahawa al-Quran menekankan prinsip keadilan serta keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat walaupun wujud kepelbagaian agama dan bangsa.

Katanya, Islam tidak memaksa penganut agama lain untuk mengamalkan hukum-hakam yang diperintahkan dalam al-Quran, namun umat Islam juga tidak seharusnya dihalang daripada melaksanakan kewajipan syariah yang dituntut ke atas mereka.

“Untuk menghalang umat Islam mengikuti segala kewajipan syariah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka adalah suatu kesalahan mengikut kontrak sosial yang telah dipersetujui,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar kepimpinan negara memberi ruang kepada al-Quran untuk diterapkan dalam agenda pembangunan dan pentadbiran negara dalam bentuk yang bersesuaian.

Beliau menegaskan, Kelantan akan terus konsisten membawa agenda Membangun Bersama Islam, selain menyesuaikan pendekatan pelaksanaannya mengikut keperluan semasa.

“Semoga hasrat untuk meletakkan al-Quran sebagai rujukan tertinggi serta menjadikan hukum syariah sebagai undang-undang utama bagi umat Islam di Malaysia dapat direalisasikan sepenuhnya,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menggesa umat Islam supaya sentiasa mendampingi al-Quran, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang menjanjikan ganjaran pahala berlipat ganda bagi setiap amalan.

Beliau juga menekankan kepentingan memupuk budaya membaca al-Quran sejak usia kanak-kanak melalui institusi pendidikan mahupun dalam institusi keluarga.

“Didikan ibu bapa yang menitikberatkan al-Quran dalam keluarga akan membantu membentuk keseimbangan perkembangan spiritual, akhlak dan kerohanian anak-anak seiring dengan perkembangan fizikal serta minda,” katanya.

Tambahnya, budaya memuliakan al-Quran juga perlu terus diperkasakan dalam masyarakat bagi membimbing umat Islam menghadapi cabaran arus kemodenan yang semakin pesat berkembang.