Tanpa bimbingan wahyu, manusia berisiko tersasar daripada kebenaran – MB Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 7 Mac – Tanpa bimbingan wahyu, manusia berisiko tersasar daripada jalan yang benar serta terdedah kepada pelbagai bentuk penyimpangan dalam kehidupan.
Demikian kenyataan Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, melalui perutusan rasmi Nuzul Al-Quran 1447H/2026M, hari ini.
Menurutnya, peristiwa Nuzul Al-Quran yang diperingati setiap 17 Ramadan merupakan detik penting dalam sejarah umat Islam kerana penurunan kitab suci itu menjadi panduan hidup bagi seluruh manusia.
Memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Furqaan ayat pertama, beliau menegaskan bahawa al-Quran diturunkan sebagai peringatan kepada seluruh alam.
“Tanpa arah tuju yang jelas dan benar, manusia hidup dalam kesempitan yang jauh daripada rahmat dan reda Allah SWT. Dalam kehidupan dunia, manusia memerlukan petunjuk untuk menuju sesuatu destinasi, maka lebih-lebih lagi dalam perjalanan menuju Tuhan Pemilik sekalian alam,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa keunggulan generasi sahabat Rasulullah SAW terbina hasil penghayatan mendalam terhadap al-Quran yang bukan sahaja dibaca dan dihafal, malah diamalkan secara menyeluruh dalam kehidupan.
Bagaimanapun, katanya, tahap interaksi umat Islam terhadap al-Quran kini semakin menurun sehingga wujud pelbagai gejala sosial yang membimbangkan.
“Apabila pegangan terhadap al-Quran semakin longgar, wujud kecenderungan mendedahkan aib demi populariti di media sosial, berkongsi rahsia rumah tangga tanpa rasa malu serta kecenderungan kepada hiburan melampau yang akhirnya menjejaskan nilai kehidupan masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa umat Islam juga berdepan cabaran kehilangan kesedaran dalam membangunkan kepimpinan yang beraspirasi Islam sekiranya kelemahan, kejahilan dan perpecahan tidak ditangani secara serius.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan yang berteraskan dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam terus berusaha membumikan nilai al-Quran dalam tadbir urus kerajaan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Membina Generasi Al-Quran, penubuhan Pusat Tarannum Al-Quran Kelantan serta usaha merealisasikan misi “Satu Rumah Satu Hafiz”.
Menurutnya, rekod Yayasan Islam Kelantan (YIK), sehingga tahun 2024 seramai 5,370 hafiz dan hafizah berjaya dilahirkan melalui institusi pendidikan di negeri ini.
Dalam perutusan itu juga, beliau turut menyeru umat Islam, khususnya rakyat Kelantan, agar memperkukuh hubungan dengan al-Quran sepanjang Ramadan melalui bacaan, tadabbur makna ayat serta mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.
“Insya-Allah kehidupan akan menjadi lebih sempurna apabila al-Quran dijadikan panduan dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya.








