Warga klinik sekitar DUN Tawang terima kit Ramadan
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: media ADN Tawang
BACHOK, 5 Mac – Warga klinik di seluruh DUN Tawang menerima kit Ramadan atas inisiatif Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang YB Harun Ismail.
Menurut YB Harun, program agihan kurma itu telah dijalankan selama tiga hari secara berperingkat sejak akhir Februari.
"Pada 26 Februari lalu, sumbangan disampaikan di Klinik Kesihatan Beris Panchor. Seterusnya, pada 4 Mac, kurma diagihkan ke Klinik Desa Pauh Sembilan, Klinik Desa Bekelam dan Klinik Desa Belukar. Kunjungan terbaharu hari ini pula ke Klinik Kesihatan Beris Kubor Besar," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa semua klinik dalam DUN Tawang telah disantuni.
"Alhamdulillah, semua klinik dalam DUN Tawang telah disantuni. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para petugas kesihatan yang sentiasa komited melayani masyarakat, khususnya penduduk di DUN Tawang," ujarnya.
Tambahnya, agihan kit Ramadan itu juga bertujuan menghargai pengorbanan dan komitmen para petugas kesihatan.
"Semoga sumbangan kecil ini dapat mencerminkan penghargaan kami terhadap jasa mereka yang tidak mengenal penat lelah demi kesejahteraan masyarakat," katanya.
















