Accessibility Tools

Skip to main content

Martabat wanita diperkasa melalui ilmu dan nilai keimanan

Oleh: Syamimi Manah

RANTAU PANJANG, 8 Mac – Martabat wanita perlu terus diperkasa melalui penguasaan ilmu, pembinaan akhlak serta pengukuhan nilai keimanan bagi melahirkan generasi yang kuat dan membina negara yang sejahtera.

Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, Islam telah mengangkat kedudukan wanita ke tahap yang mulia dengan memberikan penghormatan serta peranan penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Menurutnya, sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2026, penghargaan wajar diberikan kepada seluruh wanita yang sentiasa memainkan peranan besar dalam membina keluarga, memperkukuh masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara.

“Tema Memartabatkan Wanita, Memperkukuhkan Negara mengingatkan kita bahawa apabila wanita dimartabatkan dengan ilmu, akhlak dan nilai keimanan, maka akan lahirlah generasi yang kuat serta negara yang sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi hari ini.

Beliau turut berharap agar golongan wanita terus memperkukuhkan jati diri, memelihara nilai agama serta menjadi benteng kekuatan ummah dalam menghadapi cabaran semasa.

Tambahnya, peranan wanita sebagai tonggak keluarga dan masyarakat perlu terus dihargai kerana sumbangan mereka amat besar dalam memastikan kesejahteraan serta keharmonian negara.