Kelantan hormati adat dan tradisi masyarakat pelbagai kaum
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 5 MAC- Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa menghormati adat dan tradisi masyarakat pelbagai kaum di negeri ini, selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara komuniti.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad berkata, aktiviti keagamaan dan kebudayaan seperti sambutan Chap Goh Meh terus diraikan sebagai sebahagian daripada warna-warni kehidupan masyarakat di Kelantan.
Menurutnya, sebagai tanda sokongan terhadap kelangsungan program komuniti di Tok Kong, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM8,000 bagi membantu aktiviti masyarakat setempat.
“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha memelihara tradisi dan budaya masyarakat pelbagai kaum. Kita mahu hubungan harmoni yang sedia terjalin terus diperkukuh dan menjadi contoh perpaduan yang baik,” katanya menerusi hantaran di media sosial, pada Rabu.
Terdahulu YB Zamakhshari hadir bersama masyarakat Tionghua di Tok Kong Mek Tin Hin Kong, Kampung Cina, bagi sambutan Chap Goh Mei yang menandakan penutup perayaan Tahun Baharu Cina.
Untuk rekod Tok Kong Mek Tin Hin Kong merupakan antara rumah ibadat tertua di Kelantan dengan sejarah menjangkau lebih 236 tahun. Kedudukannya di tepi Sungai Kelantan menjadikannya sebahagian daripada warisan budaya masyarakat Tionghua di negeri ini.
Setiap tahun, sambutan Chap Goh Mei di sini sentiasa meriah dengan kehadiran masyarakat Cina dari seluruh negeri malah dari luar Kelantan.
Turut menjadi tumpuan dalam program tersebut ialah Perarakan Kebudayaan Chanjie yang bermula dari Tok Kong ini menuju ke Dataran Cheng Ho di Jalan Kebun Sultan, disertai pelbagai kumpulan kebudayaan.












