Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan meterai kontrak pelancongan RM2.3 juta di ITB Berlin, sasar 2,300 pelancong Jepun

Oleh: Norzana Razaly

BERLIN, 4 Mac – Kelantan terus memperkukuh kedudukannya dalam peta pelancongan antarabangsa apabila Tourism Kelantan berjaya memeterai kontrak pelancongan dua hala bernilai RM2.3 juta bersama syarikat pelancongan Jepun, Topview Holiday Japan Co. Ltd., bersempena penyertaan negeri itu dalam pameran pelancongan terbesar dunia, Internationale Tourismus-Börse (ITB) Berlin 2026 yang berlangsung dari 3 hingga 5 Mac.

Perjanjian strategik tersebut dimeterai melalui wakil rasmi Tourism Kelantan di pameran berprestij berkenaan, Inspire Travel Malaysia Sdn. Bhd., sekali gus membuka laluan lebih luas kepada kemasukan pelancong dari Jepun ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata kerjasama berkenaan merupakan langkah penting dalam usaha memperluas pasaran pelancongan antarabangsa serta memposisikan Kelantan sebagai destinasi ekopelancongan unggul di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, perubahan landskap geopolitik global turut mempengaruhi pola perjalanan pelancong antarabangsa dan secara tidak langsung membuka peluang baharu kepada Malaysia.

“Polarisasi pelancongan dijangka berubah buat sementara waktu susulan krisis di Timur Tengah. Pelancong dari Eropah, Jepun, Australia dan New Zealand kini lebih cenderung memilih Malaysia sebagai destinasi utama bagi mengelakkan laluan penerbangan yang melalui kawasan konflik,” katanya dalam kenyataan rasmi, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa momentum tersebut wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh kedudukan Kelantan dalam sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi yang semakin mendapat perhatian pelancong global.

Sementara itu, Pengarah Tourism Kelantan Mohd Azwan Ab Rahman memaklumkan, kerjasama dengan Topview Holiday Japan Co. Ltd. turut memberi penekanan kepada promosi produk ekopelancongan di kawasan Dabong dan Jeli, yang terkenal dengan keunikan biodiversiti serta landskap semula jadi yang masih terpelihara.

Menurutnya, antara tarikan utama yang akan diketengahkan termasuk kepelbagaian flora dan fauna unik serta Air Terjun Gunung Stong, yang semakin dikenali sebagai permata tersembunyi dalam kalangan pelancong antarabangsa.

“Produk ekopelancongan ini menawarkan pengalaman alam semula jadi yang autentik, eksklusif dan kurang dikomersialkan, sekali gus berpotensi menarik minat pelancong dari Jepun dan Eropah yang mencari destinasi berteraskan kelestarian,” jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Topview Holiday Japan Co. Ltd. Bill Cheng menyatakan komitmen syarikatnya untuk membawa kumpulan pelancong Jepun ke Kelantan susulan peningkatan kemudahan penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Beliau memaklumkan kumpulan pertama pelancong Jepun dijangka tiba di Kelantan pada akhir April 2026. 

Syarikat tersebut juga menyasarkan kemasukan kira-kira 2,300 pelancong Jepun ke negeri ini sepanjang tahun 2026.

Kontrak pelancongan berkenaan dijangka menjana nilai keseluruhan RM2.3 juta bagi tahun ini, sekali gus menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan sektor pelancongan Kelantan serta membuka ruang kerjasama lebih luas dengan pemain industri pelancongan antarabangsa.