300 bubur pulut hitam diagih kepada warga Kampung Kelaboran
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN Kelaboran
TUMPAT, 4 Mac – Sebanyak 300 bekas bubur pulut hitam diagih kepada penduduk Kampung Kelaboran dalam program Kongsi Rasa Ramadan DUN Kelaboran 3.0 anjuran Pusat Khidmat DUN Kelaboran pada 26 Februari lalu.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan, program tahunan itu bertujuan menyantuni rakyat serta menyemarakkan semangat Ramadan dalam komuniti setempat.
“Program ini adalah program tahunan anjuran Pusat Khidmat DUN Kelaboran bagi mengagihkan kuih-muih kepada rakyat. Setiap tahun kita memilih kampung-kampung tertentu, dan tahun ini pilihan jatuh kepada Kampung Kelaboran,” katanya.
Program berkenaan berkonsepkan gotong-royong memasak, melibatkan pemimpin kampung, penghulu, muslimat, dan ahli jawatankuasa kampung.
"Setelah siap dimasak, bubur dan kuih-muih dibungkus dan diedarkan kepada penduduk selepas waktu Asar" jelasnya.
ADN Kelaboran turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
“Terima kasih kepada penghulu, tukang masak, muslimat, staf Pusat Khidmat DUN dan semua yang menyumbang tenaga,” ujarnya.














