Accessibility Tools

Skip to main content

Keluarga asnaf terima sumbangan CSR Ramadan 1447H AKSB

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 4 Mac — Sepuluh keluarga asnaf di Mukim Teluk Kandis dan Pendek Dalam menerima sumbangan  daripada Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berupa barangan keperluan dapur, air mineral, kain tudung serta bantuan tunai menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ramadan 1447H.

Sumbangan tersebut  disampaikan oleh Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar bandar YB Saizol Ismail ke rumah setiap penerima, pada Selasa.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan AKSB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat secara strategik.

“Kita bersyukur AKSB terus komited menyantuni para asnaf demi memperkukuh komitmen terhadap agenda kesejahteraan komuniti menerusi pelaksanaan infak. Budaya ini  selari dengan aspirasi syarikat untuk memperkukuh nilai kemampanan sosial di samping menyediakan perkhidmatan utiliti air yang berkualiti kepada rakyat negeri ini.

“Program ini turut menzahirkan peranan AKSB bukan sahaja sebagai penyedia perkhidmatan air negeri, bahkan sebagai entiti korporat milik negeri yang komited memacu nilai tanggungjawab sosial serta memperkasa kesejahteraan komuniti setempat,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yakin melalui pelaksanaan inisiatif CSR secara konsisten, AKSB terus memperkukuh reputasi korporatnya sebagai organisasi utiliti yang berfokus kepada operasi dan penyampaian perkhidmatan serta turut memainkan peranan signifikan dalam menyokong agenda kebajikan rakyat, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.